Wednesday, October 12, 2011

adik muhd firdaus mangsa dera

Al Fatihah buat adik mohd firdaus (6 tahun)..semoga dicucuri Rahmat dan bahagia di Sana..Amiin.

ALOR GAJAH - Kematian seorang kanak-kanak lelaki berumur 6 tahun petang kelmarin, membongkar kekejaman bapa tirinya berusia 37 tahun yang dipercayai sering mendera mangsa sejak beberapa bulan lalu.

Dalam kejadian kira-kira jam 4.30 petang kelmarin, mangsa, Mohd Firdaus Mat Dan dihantar ke Hospital Alor Gajah oleh bapa tirinya sendiri dalam keadaan ‘nyawa-nyawa ikan’ sebelum disahkan meninggal dunia.

Hasil bedah siasat mendapati kanak-kanak malang itu meninggal dunia akibat kecederaan pada paru-parunya, dipercayai dipukul dengan benda tumpul.

Ibu mangsa berusia 41 tahun yang ditemui di pekarangan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Alor Gajah malam kelmarin berkata, dia tidak mengetahui kejadian menimpa anak bongsu daripada enam beradik itu, hasil perkahwinan pertamanya.

“Suami membawa adik (Mohd Firdaus) keluar bersamanya ketika pergi kerja pada pagi kejadian tetapi tidak membawanya pulang apabila dia kembali ke rumah.

“Saya tanya di mana adik dan suami kata, dia hantar adik ke hospital. Sebaik sahaja saya tiba di hospital, saya hanya dapat melihat tubuh adik yang kaku kerana dia sudah meninggal dunia,” katanya yang masih berpantang kerana baru 10 hari melahirkan anak ketujuh.


Anak bongsu selalu diasing suami

Menurutnya, dia mula menjaga mangsa sejak lima bulan lalu di sebuah rumah sewa di Padang Sebang.

“Bagaimanapun, sepan­jang tempoh berkenaan saya sering perhatikan suami selalu mengasingkan anak bongsu saya daripada bercampur dengan adik-beradik lain termasuk saya.

“Sejak sebulan lalu, saya lihat sifat ceria dan gembira adik semakin menghilang, malah hampir setiap hari suami membawa adik ke mana sahaja dia pergi, tanpa mengira siang ataupun malam. Saya pula memang tidak mencurigai perbuatannya,” katanya.

Bagaimanapun katanya, sebelum ini dia pernah mendengar anaknya itu menjerit kesakitan ketika sedang mandi bersama suaminya.

“Ketika itu, pintu bilik air berkunci dan ketika dibuka, saya lihat adik dalam keadaan lemah terduduk dan tersandar di dinding.

“Saya tanya suami kenapa dia kerap pukul adik dan dia memberikan pelbagai alasan, antaranya dia berang kerana adik selalu buang air besar dalam seluar,” katanya.

Menurutnya, sepanjang perkahwinan kali keduanya ini, suami tidak pernah mengasarinya tetapi tidak tahu kenapa adik pula sering menjadi sasaran.

“Saya tidak tahu apa salah dan dosa adik sehingga diperlakukan sebegini,” katanya.
Tidak berpeluang rapati adik.

Sementara itu, abang mangsa yang hanya mahu dikenali sebagai Hisham, 20, berkata, dia tidak berpeluang merapati adik bongsunya itu dan terkejut dia menjadi mangsa deraan bapa tiri.

“Susah nak lihat adik tidak berbaju kerana setiap kali lepas mandi, adik keluar sudah lengkap berpakaian.

“Sebelum ini pernah juga lihat ada kesan luka dan lebam tetapi adik jawab, disebabkan terjatuh dan terlanggar sesuatu,” katanya.

Menurutnya, adiknya tidak pernah mengadu sakit dan dia juga tidak pernah diberikan peluang tidur bersama Mohd Firdaus.

“Selama ini, bapa tiri tak pernah menunjukkan sikap marah dan memang nampak tiada apa-apa berlaku di rumah,” katanya kepada Sinar Harian di pekarangan bilik mayat Hospital Melaka, semalam.

Nenek mangsa, Tumirah Mis, 58, berkata, sudah hampir setahun dia tidak bertemu anak perempuannya itu sejak berkahwin baru.

“Makcik yang jaga Mohd Firdaus sebelum diambil lima bulan lalu untuk tinggal bersama ibunya,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintendan Umar Ali Saifuddin Shaharudin berkata, suspek yang ditahan polis di luar Hospital Alor Gajah pada petang kejadian, kini ditahan reman tujuh hari bermula semalam untuk membantu siasatan.

“Polis masih menjalankan siasatan. Dipercayai ada unsur penderaan sehingga mengakibatkan kanak-kanak itu maut dan kes disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan

sumber : sinar harian

No comments:

Post a Comment